Spiga

Pujian blogger terhadap Pak Lah

Sunday, October 12, 2008
Mengenang Kepimpinan DS Abdullah Ahmad Badawi
Sebenarnya aku belum mahu menulis ini. Pada hemat aku, tempoh sekitar 5-6 bulan ini terlalu panjang dari konteks politik. Dalam tempoh sepanjang ini, DS Abdullah masih punya waktu untuk membuat magis dalam perjalanan politik Malaysia.

Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pengarah Malaysia Think Tank pernah mengungkap gelaran Bapa Pendemokrasian sebagai gelaran untuk DS Abdullah sejak Mei lalu. Ia kini ditimbulkan semula oleh TS Koh Tsu Koon selepas DS Abdullah mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden UMNO pada Mac depan.

Hakikat bahawa DS Abdullah tidak mengumumkan pengunduran dari kerusi Perdana Menteri dan resam Presiden UMNO adalah Perdana Menteri sebelum ini cukup untuk membuat aku memikirkan penangguhan tulisan ini sebelum ini.

Ya, sudah tentu pemergian DS Abdullah (jika benar berlaku selewat-lewatnya Mac 2009) harus diungkap secara saksama.

Umum maklum ada percubaan oleh DS Abdullah untuk 'menghidupkan semula' ruang demokrasi di Malaysia. Berikutan tindakan ini, kita menemukan 'bantahan' dalam bentuk yang pelbagai oleh sekelompok mereka yang aku gelar 'aliran Mahathirisme'. Sebenarnya aliran inilah yang akhirnya berjaya 'memaksa' DS Abdullah mengumumkan keputusannya. Aliran ini mengambil peluang dari hasil besar ruang demokrasi yang diberikan DS Abdullah - yang digunakan semahunya oleh parti lawan (harap jelas, aku tidak tulis parti pembangkang!). Dalam kata lain, DS Abdullah membuktikan tesis ruang demokrasi yang baik boleh memberikan peluang lebih kepada transisi kerajaan. Aku fikir, ini satu-satunya yang positif untuk mengingati kepimpinan DS Abdullah selain memperingatkan tentang Pertanian sebagai dasar yang harus diberi perhatian. Oh lupa, aku sangat senang dengan DS Abdullah sebagai pemimpin yang tidak banyak bercakap dan bila bercakap nada suaranya tidak terlalu tinggi. Tak salah bersuara tinggi, tapi biarlah meyakinkan!

Memang banyak perspektif boleh diberikan untuk menunjukkan keburukan beliau. Dari hal tidur, tidak menguasai wacana atau isu yang dibincangkan, korupsi, beberapa tindakan yang tidak demokratik, korupsi dan lain-lain. Pendek kata, di mana-mana orang menilai kepimpinan DS Abdullah adalah lemah.

Aku tidak fikir perbandingan DS Abdullah dan T Dr Mahathir adalah perbandingan yang adil. Meski T Dr Mahathir boleh diakui bijak menggunakan akal dan meyakinkan semasa mengutarakan pendapat, aku tidak mengimpikan beliau kembali masuk campur soal perjalanan kerajaan.

Terlalu banyak kebejatan Mahathirisme yang perlu diselesaikan. Dari titik ini, terima kasih kepada DS Abdullah kerana memberi peluang untuk kita semua menggerakkan negara dengan lebih baik. Kita harus tolak Mahathirisme kembali menguasai kehidupan bernegara di Malaysia!

DS Abdullah mungkin lemah, tetapi sebenarnya UMNO-BN lemah dalam konteks wacana yang lebih tajam. Ia tidak juga menjadikan PR kuat, tetapi hanya dilihat lebih baik. Pemergian DS Abdullah tidak harus mengalihkan tumpuan kita bahawa sistem kenegaraan di Malaysia adalah lebih dari soal tokoh, kita mahukan idea!

oleh : Minta 5 minit's Blogger

0 comments: